Mungkin aku terlalu tergesa-gesa berpindah ke apartmen ini bulan lepas. Keterujaan yang akhirnya memakan diri sendiri. Mudah dotcom. Emel landlord. Bertukar nombor telefon. Bersembang. Berjumpa van voila berpindah masuk. Semuanya dalam tempoh seminggu.
Bukannya aku tak datang tengok dulu. Aku dah datang. Aku ajak Fad tengok sekali. Dia kata ok. Mana dapat sewa murah macam tu. Dahla murah dekat dengan LRT pulak. Kalau tak sambar, melepas ke tangan orang lain. Aku tak fikir apa-apa dah. Bayar 2+1 dan terus masuk.
Dan sekarang aku menyesal. Dalam sebulan, aku boleh bilang dengan jari berapa kali aku dapat tidur nyenyak sampai pagi. Insomnia. Mula-mula tu aku ingat sebab kopi. Jadi aku berhenti minum seawal jam 4 petang, supaya tidurku tak terganggu. Tapi makin teruk jadinya.
Macam malam ni. Dah pukul 1.30 pagi tapi aku masih terkebil-kebil dalam gelap. Aku tak boleh tidur lagi. Pusing kanan. Pusing kiri. Segala-galanya semakin menjadi-jadi sejak seminggu yang lalu. Sejak aku perasan insomniaku disebabkan gangguan bunyi. Bunyi apa? Pintu.
Apartmen tiga bilik ini ada sebuah bilik air bersambung di antara bilik satu dan dua. Buat masa ini, aku menyewa seorang diri. Fad kata nak duduk dengan aku bulan depan. Aku tak kisah sangat bab duit sewa tapi aku nak berteman sebab aku dah tak rasa selesa. Aku ingat lagi malam Jumaat lepas, waktu aku bergolek-golek atas katil mencari inspirasi nak tidur, tiba-tiba pintu tandas terbuka sedikit.
*kreeeeok*
Pintu lama. Bila apartmen separuh kosong, bunyi gemanya hampir membuatkan aku meloncat dalam gelap. Mula-mulanya aku ingat tu angin. Almaklumlah sekarang ini musim hujan dan malam agak berangin. Tambahan, tingkap tandas sedikit terbuka.
Itu cara aku menyedapkan hati. Walaupun aku tahu malam tu panas dan tak berangin. Tak apalah, esok aku minyakkan pintu tu. Keesokan paginya sebelum ke pejabat, ku belek pintu tandas sambil memberus gigi. Ku tolak-tarik pintu. Aneh. Tak ada bunyi langsung.
Berus gigi masih dalam mulut, aku ambil minyak Singer dan melicinkan engsel. Selepas itu aku mandi dan ke pejabat. Tapi malam itu, masalah yang sama berulang kembali. Pintu terbuka sendiri di dalam gelap dengan bunyi yang luarbiasa gemanya.
*kreeeeok*
Memandangkan jarak katil dengan pintu hanya dua-tiga meter jauhnya, aku sedikit cemas. Mataku terkebil-kebil di dalam gelap bilik tidur. Puas melihat seandainya ada sesuatu yang menolak atau akan keluar di sebalik pintu. Tapi tak ada. Dan itu cukup membuatkan aku insomnia. Dan untuk malam-malam yang berikutnya, perkara yang sama berulang kembali. Puas pintu diminyak, makin menjadi-jadi bunyinya. Semalam, sebelum cuba untuk tidur jam 2 pagi, aku berwhatsapp dengan Fad.
"Bro, ko dah tidur ke?"
"Belum. Awat Min?"
"Aku tak sedap hatilah"
"Kenapa?"
"Pintu tandas ni asyik terbukak malam-malam. Cuak aku"
"Hahaha... macam bebudak"
"Sial"
"Hahaha serius ah Min! Ko takut?"
"Cuak gak ah"
"Hantu pintu tu... jeng jeng jeng!"
"Sial. Aku serius ni"
"Hahaha okokok. Pekata ko rakam?"
"Rakam?"
"Infrared. Try ah"
Itu kisah malam semalam. Aku cukup menyesal dengar cakap Fad. Sebab sekarang dah pukul 2.15 pagi dan aku masih tak boleh tidur. Kalau sebelum ini aku hanya berguling di atas katil, malam ini aku berselubung dalam selimut putih. Bajuku lencun berpeluh. Aku pun tak tahu kenapa aku dengar nasihat Fad suruh rakam.
Dalam rakaman selama lima jam itu, segala-galanya seperti biasa sehinggalah...... sehinggalah pintu terbuka dengan sendiri jam 2.30 pagi. Rakaman infrared menampakkan segala perincian dengan tepat. Boleh bayangkan rakaman infrares Paranormal Activity? Ya, begitulah rakaman yang aku tonton sebentar tadi. Pintu bergerak.
*kreeeok*
Jelas kelihatan tubuhku terbaring di atas katil membelakangkan pintu yang baru terbuka. Entah kenapa, malam semalam tidurku sangat lena. Dan ketika itu, jelas terakam lembaga bertubuh lonjong, kurus, berkuku panjang dan berambut menggerbang di sebalik pintu. Bergerak perlahan. Bergerak menuju katilku di dalam gelap dan hampir menyentuh tubuhku dengan jari-jemari runcingnya seandainya aku tak terjaga.
Semuanya terakam. Semuanya jelas. Aku tak tahu apa benda tu tapi rupanya menggerunkan. Benda yang muncul di sebalik pintu di dalam gelap.Dan sekarang, jam 2.30 pagi, aku masih terkebil-kebil tak boleh tidur. Tapi malam ini aku dah tak pasti sama ada itu insomnia atau takut.
Mengikut rakaman semalam yang aku lihat tadi, benda itu akan muncul di sebalik pintu pada bila-bila masa sekarang. Anytime now. Anytime. Aku menggigil di dalam gelap walaupun badanku panas berselubung.
Benarlah aku terlalu tergesa-gesa berpindah masuk tanpa usul periksa. Rupanya apartmen ini berhantu. Pintu itu menjadi perantara alam ghaib dan alam nyata. Bilik tidurku dijadikan transit keluar masuk. Dan masih jelas terbayang betapa banyaknya makhluk berambut panjang yang keluar di sebalik pintu itu, mengelilingi katilku malam semalam.
Semuanya terakam. Patutlah aku terjaga selepas itu, rupanya aku diperhatikan dalam gelap. Tapi masalahnya pintu itu hanya bersifat one-way. Dah keluar, tak boleh masuk semula. Aku menangis membayangkan betapa banyaknya benda itu sekarang.
Mengelilingi katilku dan memerhatikan aku di dalam gelap. Menunggu masa untuk menyentap jatuh selimutku dan menarik kakiku. Banyak! 2.45 pagi. Dan pintu terbuka sekali lagi.
*kreeeok*
Aku hanya mampu menangis melihat dalam kesamaran bilik, kelibat lembaga keluar perlahan. Satu. Dua. Tiga. Empat. Lima. Seratus? Berapa ratus lembaga sekarang di sekeliling katilku memandangku di dalam gelap? Aku tak tahu.
No comments:
Post a Comment