5/06/2015

Creepyposta - Gelap

"Budak lelaki kalau takut tidur dalam gelap, baik kerat telur tu"

Megat ingat lagi kata-kata ayah waktu dia sekolah tadika dulu. Tapi Megat tak peduli. Seingat Megat, sampai darjah tiga dia tidur dengan mak dan ayah dalam bilik, sampailah ayah naik angin.

Abang-abang Megat meluat jer tengok adik bungsu manja sangat tidur dengan mak ayah, tapi tak cakap apa-apa pun. Malas masuk campur. Megat sendiri pun tak ingat macamana dia boleh takut tidur dalam gelap. Megat tak ingat punca sebenar ketakutan tu.

Pernah sekali waktu Megat darjah satu, ayah tengking suruh dia tidur dalam bilik sendiri. Megat menangis terlolong-lolong macam kena sampuk. Habis pipi dengan tangan dicakar-cakar sampai ayah terpaksa beralah suruh mak pujuk ajak Megat tidur sama. Hebat tak hebat.

Bila masuk darjah tiga, akhirnya ayah suruh Megat tidur dalam bilik sendiri. Megat kata ok, tapi dia tak bagi mak tutup lampu. Begitulah kisah Megat yang takut tidur dalam gelap sedangkan dia sendiri pun tak ingat kenapa dia takut. Dari alam remaja. Ke alam dewasa. Setiap kali nak tidur, Megat akan pastikan ada lampu yang dibiarkan menyala. Kalau tak torchlight, TV atau laptop. Asalkan tak bergelap.

Member-member tak perasan sangat Megat takut tidur dalam gelap. Kat kolej dulu, dia buat-buat taip assignment depan laptop sampai terlelap. Megat pandai cover line. Hanya mak ayah dan abang-abang jer yang tahu Megat penakut. Sampailah usia Megat 25 tahun. Bujang. Duduk menyewa.

Megat sewa apartmen kecil di Pantai Dalam. Dekat dengan ofis di Bangsar. Disebabkan gaji yang ciput, ada kalanya Megat miss soru. Tapi miss soru dia tak kisah. Boleh makan megi atau roti cicah kopi. Tapi Megat tak tahan kalau letrik kena potong. Pernah sekali.

Menggelupur Megat telefon mak suruh bank in kan duit RM200 nak bayar bil tertunggak. Mujurlah petang tu settle. Kalau tak, habislah Megat. Pagi tadi, Megat dapat notis merah dari TNB. Bayar bil tertunggak RM350 sebelum lusa, kalau tak, potong!
Itu dah cukup buat Megat seram.

Esok Megat nak suruh mak bank in duit. Dia nak bayar bil yang makin melambung sejak tidur tak tutup lampu ni. Sempat lagi. 1 pagi. Assignment di laptop hampir siap. Megat memang kena log out pun sebab lampu laptop dah berkelip minta dicaj. Caj esoklah!

Sambil menutup suis laptop dan bersedia untuk tidur, tiba-tiba...

*klik*

Lampu apartment Megat terpadam. Kipas berhenti. TV terpadam. Oh no!!! Megat tak percaya TNB tergamak potong bekalan letrik pukul 1 pagi! Kenapa?! Dahi dan tapak tangan Megat mula berpeluh.

Megat menyedut udara dalam-dalam.

"Gelap tak apa. Gelap tak apa"

Diulang-ulangnya ayat itu untuk menenangkan hatinya.

"Gelap tak apa"

Hatinya mula meraung. Air matanya menitik-nitik.
Megat tak sanggup tunggu sampai pagi. Megat takut. Megat takut gelap. Di dalam kegelapan apartmen, matanya dapat melihat sesosok tubuh di bucu bilik. Merangkak. Hampir. Semakin hampir. Rambut menyapu lantai.

Tiba-tiba Megat teringat semula kenapa dia takutkan gelap. Kesan cakar di pipi dan lengannya bukan kerana kukunya sendiri, tapi benda tu.

Benda yang sedang merangkak. Hampir. Semakin hampir.

"Dah dua puluh tahun aku tunggu saat ni, Megat. Malam ini, kita jumpa balik"

Megat hanya mampu menangis sambil berselubung di dalam selimut. Di dalam gelap, tak ada siapa dengar Megat menjerit.

No comments:

Post a Comment