Hafiz dan Lina merupakan pasangan ideal. Mereka baru mendirikan rumahtangga tahun lalu dan masih belum menimang cahaya mata. Hafiz bekerja sebagai auditor di sebuah firma perakaunan manakala Lina pula konsultan pengiklanan. Jadual kerja mereka berbeza.
Lina bekerja di sebelah pagi manakala Hafiz di sebelah malam. Bila Lina pergi kerja, Hafiz masih tidur. Bila Lina tidur, Hafiz di pejabat.
Walaupun tinggal di rumah yang sama dan tidur di katil yang sama, mereka jarang bersemuka kerana tuntutan kerja masing-masing. Mak Hafiz pernah mengusik,
"Sebab itulah korang tak ada anak. Bila masanya aje nak buat anak kalau masing-masing sibuk?"
Pedas. Tapi Hafiz berjanji akan cari kerja lain selepas kontraknya tamat. Dia nak hidup macam suami lain sebelum Lina bosan tidur malam. Selain daripada berkomunikasi melalui Whatsapp ketika di tempat kerja, Lina dan Hafiz juga berhubung di rumah menggunakan post-it. Itu cara pasangan muda ini berkomunikasi di rumah:
"Bayar bil Astro"
"Rendang dalam microwave"
"Jangan lupa sidai baju"
"ILU"
Bersepah-sepah post-it dilekat. Di pintu toilet. Di pintu fridge. Di kotak cereal. Lina dan Hafiz tak kuasa nak buang post-it lama. Cukup dengan tarikh, Lina dan Hafiz tahu sama ada mesej itu baru atau lama. Post-it lama dibiarkan terjatuh sendiri ke lantai.
Tengahari itu Hafiz bangun jam 2. Sambil menggaru kepala, dia berjalan ke dapur. Matanya liar mencari post-it Lina. Ada tak? Tak ada? Oh ada tu. Di mangkuk tepi microwave.
"Tom yam semalam dalam MW"
Hurm K. Tom yam semalam pun, semalam lah. Hafiz lapar. Dia tak peduli. Selesai makan dan ketika melangkah meninggalkan dapur, matanya terpandang satu lagi mesej post-it di pintu basement. Aisehman. Apa ni?
"I think kucing Kak Ram masuk basement. Boleh tak you tolong keluarkan? Thanks. XO"
Hafiz mengeluh panjang. Serius Hafiz tak berkenan baca mesej tu. Pertama, sebab dia tak suka turun basement. Kedua, sebab dia alergik dengan kucing. Fobia Hafiz pada basement ada asasnya. Waktu kanak-kanak dulu, dia pernah terkurung dua jam dalam basement waktu cari raket badminton.
Mujurlah mak ayah Hafiz tak keluar lama petang tu, kalau tak, entah-entah dia dah jadi arwah. Sampai sekarang fobianya terlekat. Waktu rumah dibeli, mereka diberi option sama ada mahu basement ataupun tak. Hafiz tak nak. Tapi Lina nak.
"Senang simpan barang lama"
Hafiz mengalah. Dan setahun selepas itu, basementnya penuh dengan barang yang entah apa-apa, termasuk lebihan kapur barus arwah ayah Lina. Menolak pintu basement perlahan-lahan, Hafiz memberanikan diri menuruni 10 anak tangga mencapai suis lampu. Satu... Dua... Tiga...
*klik*
Suis lampu ditekan. Mentol oren menerangi sebahagian basement sebesar dua garaj kereta itu.
Matanya liar mencari kucing Kak Ram. Hafiz memanggil kucing Kak Ram tanpa bergerak jauh dari anak tangga. Just in case. Dan dia terdengar bunyi mencakar di ceruk sana.
Melangkah sedikit jauh dari anak tangga untuk mendapatkan kucing Kak Ram, kakinya terpijak satu lagi post-it.
"Sorry. Don't go downstairs"
Huh? Hafiz terus membaca.
"Kucing Kak Ram ada kat depan rumah dia"
Peluh jantan Hafiz mula merembes. Dia memandang ke arah pintu basement. Dengan kiraan satu, dua, tiga, Hafiz memecut ke atas namun pintu basement tertutup sendiri seperti dihempas angin.
*PAAANG*
Mentol oren basement mula berkelip-kelip sebelum terpadam sendiri. Hafiz cemas. Peluh jantannya merecik. Pintu diketuk sekuat hati. Dan ketika itu, Hafiz dapat merasakan kuku-kuku tajam menyentuh buku lali dan belakangnya. Hafiz tahu benar itu bukan kucing. ARGHHHH!
No comments:
Post a Comment