5/08/2015

Creepyposta - Till Jahanam

Orang kata cinta itu buta. Sebab itu orang bercinta suka meraba-raba. Fyqa dan Shuk pun sama. Bukan meraba. Tapi buta.

Kenal di hashtag #chemistrypickupline, lepas tu keluar dating, pung pang jumpa family, dalam lima bulan terus nikah. Tak tunggu seru pun.

Nak masuk bulan kelapan hidup sebagai suami isteri, Fyqa mula bosan dengan Shuk. Dulu, itulah wajah yang dirindui, sekarang timbul benci.

Macam pagi ini. Fyqa tak tahu kenapa, tapi dia meluat sangat dengan Shuk. Suara paraunya bila bangun tidur. Mata sepetnya. Bau busuknya.

Salah siapa? Bercinta segera, tak kenal hati budi masing-masing, akhirnya merana di dalam perkahwinan. Ramai macam tu, Fyqa tahu.

Seperti biasa, pagi itu Fyqa menyediakan sarapan untuk Shuk. Kalau dulu, pujian suami disambut  dengan senyuman meleret, sekarang tak lagi.

"Sedapnya nasi goreng ayang"

"Kalau sedap tambahlah. Kalau tak sedap, diam jer"

Shuk tak peduli cakap Fyqa. Padanya, Fyqa ratu hidupnya. Kebosanan Fyqa pada suaminya bukan disebabkan orang ketiga. Bukan. Tapi Fyqa dah bosan jadi isteri orang. Dia rimas. Dia nak bebas.

Kebebasan Fyqa, walaupun sementara, hanya dapat dikecapi bila Shuk ke pejabat, meninggalkannya seorang diri di rumah sehingga 6 petang.

Jenuh Fyqa memikirkan cara agar Shuk melepaskannya. Bagaimana? Kalau Shuk tak nak? Buntu fikirannya mencari modus operandi yang sesuai.

*ding dong*

Loceng rumah berbunyi. Fyqa memandang jam di atas piano di ruang tamu. 10 pagi. Siapa pulak tu agaknya. Pintu hadapan dibuka. Sesosok tubuh lelaki berbaju dan berseluar hitam terconggok di luar.

"Ya? Ada apa?"

"Puan Fyqa... apa khabar?"

"Errr saya kenal awak ke?"

"Tak, tapi saya kenal Puan"

"Maaf... tak minat MLM bye"

"Tsk... nanti dulu Puan. Saya tak jual MLM"

"Who are you?"

Tanpa dipelawa, lelaki itu menerjah masuk ke dalam rumah.

"Oi biadapnya! Siapa suruh masuk? Keluar! Get out!"

Sudah terlambat. Lelaki berbaju dan berseluar hitam itu kini berlegar-legar di ruang tamunya.

"Baik awak keluar sebelum saya menjerit!"

"By the way. Perkenalkan, saya Saif Atan"

"Tolong keluar SEKARANG Encik Saif Atan!"

Lelaki itu mengalah juga akhirnya dengan desakan Fyqa.

"Baiklah. Too bad Puan tak perlukan pertolongan saya nak membebaskan diri dari Encik Shuk"

Fyqa terdiam seketika. Siapa lelaki ini?

"Kejap. Mana awak tahu pasal, hurm, suami saya?"

Mata lelaki itu berkilauan ketika tersenyum.

"Well... let's say that I have my sources"

Saif Atan masuk semula ke dalam rumah sambil tertawa kecil. Puan Fyqa menutup pintu perlahan-lahan, sedikit cemas. Tapak tangannya berpeluh.

"Saya nak tolong Puan. Tu jer"

"Errr... for free?"

"Oh tak. Ada ke benda percuma dalam dunia ni?"

"Hurm. Awak nak berapa?"

"Tsk tsk tsk. Saya tak nak duit"

Mata Fyqa terbelalak. Apa benda pulak dia nak ni?

"Saya nak jiwa Puan Fyqa"

"Jiwa?!"

"Ya. Jiwa"

Dan ketika Saif Atan tersenyum, Fyqa seakan-akan ternampak gigi-gigi putihnya bertukar menjadi taring-taring.

"Kenapa nak jiwa saya?"

"Sebab jiwa Puan, hurm, kotor..."

"Kotor?!"

"Ya, kotor. Bukan ke Puan nak saya tolong singkirkan Encik Shuk? That's dirty!"

Dia tertawa. Fyqa mula cemas. Dia tahu Saif Atan bukan manusia. 

"Jangan takut Puan. Saya boleh selesaikan Encik Shuk. Tapi kita kena buat perjanjian"

Saif Atan mengeluarkan sehelai kertas bersaiz separuh A4 dari poket seluar belakangnya dan sebatang pen merah.

"Nah, tandatangan"

"Apa ni?"

"Perjanjian kita. Yang Puan akan berikan pada saya jiwa Puan bila tugas saya selesai. Bayangkan kebebasan yang bakal Puan dapat!"

Sambil memegang pen merah, Fyqa mula berfantasi kehidupannya sebagai janda muda kaya. Dan... duit insurans Shuk juga bakal jadi miliknya!

"Tapi, macamana Encik nak selesaikan suami saya?"

"Itu, serahkan pada saya" jawab Saif Atan sambil tersenyum. 

"Bunuh?"

Saif Atan ketawa.

"Jangan risau, saya beri pilihan pada Puan untuk tentukan tahap kesakitan yang Puan nak Encik Shuk rasa. Tahap 1 sampai 5. 5 paling sakit"

Fyqa mula rasa serba salah. Dia dah bosan dengan suaminya, tapi dia tak tergamak nak suaminya mati kesakitan. Dilema.

"Tahap 2 boleh?"

"Hahaha boleh Puan. Okay sekarang tandatangan"

Dan ketika tandatangan diturunkan di kertas bersaiz separuh A4 itu, jiwanya bergelodak. Perasaan sedih, takut dan gembira bercampur baur. Dia bakal bebas!

"Malam ini, jam 9, saya akan datang semula"

Fyqa menarik nafas lega. Tiada lagi Shuk bererti dia akan menemui semula kebebasan yang diidam-idamkannya itu! Dan wang! WANG BESAR! Sebelum pergi, Saif Atan meminta Fyqa menyimpan elok-elok surat perjanjian mereka.

"See you tonight!"

"See you!"

9 pm.

"Yang! Abang nak lepak kat mamak tengok bola malam ni!"

Fyqa yang sedang memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh, terhenti.

"Tak nak makan malam dulu ke?"

"Tak apalah. Nak keluar dah ni. Don't wait for me okay. Love ya!"

Dan kedengaran bunyi pintu ditutup. Fyqa berasa sedikit bersalah. Saif Atan akan datang mencabut nyawa suaminya malam ini... di mamak? Sedikit rasa kesal menyelubungi hatinya. Tapi tahap dua, tak sakit kot. Bye sayang... Dan Fyqa terus memasukkan pakaian kotor ke dalam mesin basuh selepas memeriksa kocek.

Tiba-tiba tangannya terpegang kertas. Aiks... ini surat perjanjian aku dengan Saif Atan. Macamana boleh ada dalam poket seluar ni?

Bergegas ke ruang tamu memegang kertas, Fyqa terkejut melihat surat perjanjiannya ada di atas rak buku. Habis, ini surat perjanjian siapa?

Matanya membaca surat itu. Surat perjanjian antara Shuk dan Saif Atan. Dan tiba-tiba kedengaran suara dari belakangnya.

"Tsk tsk tsk... sorry Puan. Suami Puan lebih cepat bertransaksi dengan saya. Seperti yang dijanjikan, saya datang malam ini"

Fyqa menggigil. Fyqa tak berani merenung ke belakang.

"Suami Puan pilih kesakitan tahap 5 untuk Puan. Maaflah... tapi Puan boleh menjerit tau! Sedia?"

No comments:

Post a Comment