Didi tak pernah rasa kasih seorang ibu sehinggalah dia dijaga oleh Mak Minah di usia tiga tahun. Hidup Didi menumpang kasih. Mak Minah duduk seorang diri sejak kematian suaminya. Berbekalkan duit pencen Pak Maun, Mak Minah mampu meneruskan hidupnya seperti biasa.
Kehadiran Didi di dalam hidup Mak Minah menceriakan hidup warga emas itu. Walaupun Didi masih kecil, ada juga kawan Mak Minah bersembang. Rumah di hujung kampung itu tak lagi sesunyi dulu. Semangat Mak Minah sedikit pulih kini. Didi lah intan payung hidup Mak Minah.
Kasih seorang ibu yang tiada sempadannya. Ke mana saja Mak Minah pergi, si kecil Didi pasti mengekori. Mak Minah tak kisah pun. Sehinggalah malam itu. Selepas makan malam dan solat Isyak, seperti biasa Mak Minah dan Didi akan duduk di ruang tamu menonton TV.
Didi baring di riba Mak Minah ketika pintu depan rumah mereka diketuk kuat. Mak Minah tersentak, namun dia memberanikan diri mengintai. Kelibat dua lelaki berparang dan bermisai tebal kelihatan mundar-mandir di luar rumah. Penyamun, detik hati Mak Minah. Dia mula cemas.
Mak Minah menghampiri Didi yang sedang baring di atas sofa, mendukungnya dan menyorokkannya di tepi almari.
"Duduk sini diam-diam ya Didi"
Didi yang tak faham apa-apa itu hanya mengebil-ngebilkan matanya.
"Mak nak telefon polis"
Namun kudrat orang tua itu tak kesampaian. Penyamun bermisai tebal di luar rumah tadi sudah dapat masuk ke dalam rumah, di tangan mereka terhunus parang tajam. Didi nampak.
Rantai dan gelang emas Mak Minah disentap sebelum wanita itu melutut meminta tidak diapa-apakan. Namun... Darah membuak-buak di atas lantai. Didi nampak. Didi nampak Mak Minah terjelepuk di atas lantai. Didi takut, tapi dia ingat pesan Mak Minah. Duduk diam-diam.
Selesai menggeledah rumah, penyamun bermisai tebal bergegas beredar sebelum salah seorang daripada mereka ternampak Didi di tepi almari. Namun mereka beredar, membiarkan Didi ketakutan di tepi almari. Mereka tak berminat langsung nak mengapa-apakan seekor anak kucing.
No comments:
Post a Comment